Mayat Ketiga Dipercayai Mangsa Tragedi Bot Karam Ditemukan

Pasukan SAR mengangkat mayat kedua dikenal pasti sebagai Sarjan Jonathan Lambet yang ditemukan hanyut di hadapan Terminal Bot Ekspres Kapit petang Sabtu.
SIBU, 10 Mac – Tiga mayat dijumpai terapung di lokasi berasingan yang mana dua daripadanya disahkan mangsa bot karam di Batang Baleh, Kapit.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Rohana Nanu yang berkata, dua yang disahkan antara empat mangsa bot karam itu dikenal pasti sebagai Sarjan Jonathan Lambet, 51, dan Jack Balan, 44 tahun.
Manakala mayat ketiga, jelasnya, dijumpai di kawasan Tanjung Singat, Meradong dan masih belum dikenal pasti secara mutlak dan telah dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.
“Polis telah dimaklumkan tentang penemuan mayat seorang lelaki oleh orang awam yang dijumpai terapung berhampiran Jambatan Lanang pada jam 12.30 tengah hari manakala mayat kedua ditemui hanyut di hadapan Terminal Bot Eskpres Kapit kira-kira jam 4.04 petang tadi.

“Mayat pertama dijumpai oleh seorang lelaki yang sedang memancing ikan di bawah Jambatan Lanang dan bertindak mengikat mayat itu menggunakan tali sebelum ditunda menggunakan bot menuju ke Pangkalan Polis Marin Wilayah 5 Sibu dan telah diserahkan kepada pihak polis.
“Mayat itu telah dikenal pasti sebagai Jack Balan dan disahkan oleh isteri dan ahli keluargnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Rohana berkata, mayat kedua pula, ditemui hanyut di hadapan Terminal Bot ekspres Kapit pada jam 4.04 petang.
“Mayat kedua dikenal pasti oleh kakaknya sebagai Sarjan Jonathan Lambet yang berpakaian seragam polis dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Kapit.
“Kira-kira dua jam kemudian, pihak kami sekali lagi dimaklumkan bahawa satu lagi mayat ditemui di kawasan Tanjung Singat, Meradong.
“Namun mayat ketiga masih belum dikenalpasti secara mutlak dan telah dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil menambah proses pengecaman oleh ahli keluarga dijangka akan dilakukan dalam masa terdekat ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR Hari ketiga telah ditangguhkan pada jam 6.30 petang hari ini dan akan disambung semula esok (Ahad).
Dua lagi mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Konstabel Iskandar Zulkarnain Ibrahim, 28, dari cawangan Persenjataan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit dan Amerson John James Naim, 47.
Dalam kejadian sekitar jam 5.00 petang Khamis lalu, dua anggota polis bersama dua lagi penumpang dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas apabila bot fiber yang dinaiki lima orang karam di Batang Baleh berhampiran Sekolah Kebangsaan Lepong Baleh di Kapit.
Hanya seorang lelaki dikenali sebagai Moses Ngui, 47, berjaya diselamatkan oleh orang awam ketika itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
