Maritim Malaysia Pintas Bot Kargo Cuba Seludup Barang Kawalan Tanpa Permit

Juragan dan barang kawalan yang dirampas dibawa Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut kerana melanggar undang-undang negara.

TAWAU, 4 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot kargo selepas didapati cuba membawa barang kawalan tanpa permit di kedudukan 0.6 batu nautika Selatan Pelabuhan Tawau, di sini, semalam.

Menurut APMM Zon Maritim Tawau mengesan pergerakan bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan, kira-kira jam 3.40 petang di lokasi kejadian.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya menerima maklumat risikan mengenai aktiviti membawa barang kawalan di perairan daerah ini.

Bot kargo yang dirampas APMM dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

Katanya, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Op Pluto Timur dan Op Tiris berjaya memintas sebuah bot kargo yang bergerak dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Pulau Sebatik.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun yang bertindak sebagai juragan bot berkenaan.

“Pasukan operasi menemukan 500 kilogram (kg) beras tempatan, 500kg beras siam, 48kg gula pasir paket dan 120 liter minyak petrol,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut, juragan terbabit gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa.

“Bot kargo bersama juragan terbabit ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

“Nilai rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM55,000, manakala kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Padi dan Beras-Akta 522,” katanya.

Juragan dan barang kawalan yang dirampas dibawa Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut kerana melanggar undang-undang negara.

Shahrizan berkata, pihaknya komited dan terus menjalankan siasatan berkaitan cubaan menyeludup barang kawalan ke negara jiran.

Katanya, pelaksanaan penguatkuasaan secara konsisten ini juga dijadikan medium kesedaran dan pendidikan kepada komuniti maritim agar lebih peka dengan kesalahan yang dilakukan.

“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat salah laku jenayah di sekitar perairan Tawau boleh menghubungi talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian MERS 999,” katanya.

KUALA LUMPUR, 4 Jun


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *