Mangsa Rugi RM49,850, Penipuan Telefon Didakwa

Suspek ditahan kerana kes penipuan telefon pada 2 Mac 2026. Foto IPD Meradong

BINTANGOR, 3 Mac – Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an ditahan pada Isnin kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan telefon dengan menyamar sebagai pegawai syarikat penghantaran DHL.

Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Mering berkata, mangsa telah dihubungi suspek yang mendakwa mangsa telah membuat penghantaran barang larangan.

“Suspek kemudian meminta mangsa membuat pemindahan wang sebagai langkah perlindungan.

“Jumlah kerugian yang dilaporkan adalah sebanyak RM49,850,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Tansli berkata, modus operandi penipuan seumpama itu biasanya melibatkan panggilan telefon atau mesej yang mengelirukan mangsa supaya melakukan transaksi kewangan kepada pihak ketiga.

Menurutnya, suspek turut dikesan terlibat dalam satu laporan polis di Serian.

Namun, semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Tansli menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap panggilan atau mesej mencurigakan.

“Sebelum membuat sebarang transaksi kewangan, pastikan semakan dilakukan dengan pihak polis atau agensi berkaitan,” tegasnya.

Mangsa penipuan boleh menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 atau Balai Polis Bintangor di talian 084-693222 untuk membuat laporan dan mendapatkan nasihat lanjut.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *