Lori Jatuh Dalam Gaung, Pemandu Disahkan Maut Di Lokasi

Keadaan mangsa yang memandu lori membawa muatan batu sedang dalam perjalanan dari sebuah tapak kuari menuju ke kawasan memproses batu di Kampung Salimpodon, Pitas pada 15 Mei 2026.

KOTA MARUDU, 15 Mei – Seorang pemandu lori maut selepas lori muatan batu dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung di Jalan Kampung Taliduson, Pitas, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa berumur 58 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 4.40 petang sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) bergegas ke lokasi.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu lori membawa muatan batu sedang dalam perjalanan dari sebuah tapak kuari menuju ke kawasan memproses batu di Kampung Salimpodon, Pitas.

“Ketika melalui jalan menuruni bukit, lori dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan masuk ke dalam gaung di bahu kanan jalan.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.57 malam oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Pitas.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Pitas bagi proses bedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *