Lori Bertembung Dengan 4WD, Seorang Maut, Tiga Cedera

Bomba menjalankan operasi di lokasi kemalangan. Foto JBPM

KUCHING, 25 Jun – Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Datuk Mohammad Musa, berhadapan Kilang Kingdom Motor Sdn. Bhd, di sini petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.32 petang.

Katanya, anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dikerahkan ke lokasi.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori membawa barangan perkakasan dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD).

“Seorang lelaki dewasa, yang merupakan pemandu lori didapati tersepit di dalam lori dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan KKM,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tiga lagi mangsa yang berada di dalam 4wd, iaitu dua orang dewasa dan seorang kanak-kanak masing-masing mengalami kecederaan ringan.

Mangsa lelaki yang cedera diberi rawatan awal oleh Unit EMRS sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Manakala seorang wanita dan kanak-kanak turut dihantar ke hospital oleh pasukan ambulans KKM.

“Pasukan bomba menjalankan operasi penyelamatan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Selepas berjaya dikeluarkan, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Operasi pembersihan kawasan kemalangan turut dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula pam jentera bomba bagi memastikan keselamatan kawasan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.35 petang.

Turut berada di lokasi ialah anggota polis dari IPD Samarahan dan tiga petugas kesihatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *