SPRM Fail Lucut Hak Menara Ilham Di Mahkamah Hari Ini

Menara Ilham di Jalan Binjai, Kuala Lumpur akan menerima notis lucut hak yang dikemukakan SPRM pada 25 Jun 2025.

PUTRAJAYA, 25 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memfailkan pelucutan hak Menara Ilham yang terletak di Jalan Binjai, Kuala Lumpur di mahkamah hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata menara yang dikaitkan dengan Allahyarham Tun Daim Zainuddin menjadi aset terbaharu yang dalam proses pelucutan hak berkenaan selain beberapa lagi aset berkaitan.

“Kita akan melakukan proses (pelucutan hak) hari ini dan saya katakan, ia bukan melalui proses yang mudah kerana banyak perkara yang perlu dilakukan, malah dokumen (berkaitan Menara Ilham) juga tebal,” katanya pada sidang media bulanan SPRM, di sini hari ini.

Beliau turut mengesahkan, selain Menara Ilham, beberapa lagi aset akan melalui proses sama dalam tempoh terdekat.

Ini setelah pihaknya mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menyita bangunan Menara Ilham yang terletak di ibu negara awal bulan ini.

Menurut kenyataan SPRM, sitaan itu berdasarkan Notis Penyitaan Harta Tak Alih mengikut Seksyen 51(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) bertarikh 4 Jun.

Menara Ilham siap dibina pada 2015, juga dikenali sebagai Menara IB bagi singkatan Ilham Baru, menempatkan hotel empat bintang, pejabat rasmi, galeri, medan selera serta kedai cenderamata, manakala sebanyak 33 tingkat untuk kegunaan pejabat dan selebihnya adalah apartmen.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *