Liverpool Kenduri Gol Belasah Bournemouth 9-0

Pemain Liverpool, Virgil van Dijk meraikan jaringan kelima bersama rakan pasukan, Harvey Elliott dalam aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Bournemouth di Anfield. - Foto REUTERS
LIVERPOOL, 28 Ogos – Liverpool beraksi tanpa belas kasihan selepas membelasah pasukan yang baru dipromosi ke Liga Perdana Inggeris (PL), Bournemouth 9-0 sekali gus menyamai rekod kemenangan terbesar dalam sejarah liga.
Liverpool membuka perlawanan dengan rentak sempurna apabila mendahului dua gol dalam tempoh lima minit pertama untuk memulakan kenduri gol buat The Reds di Anfield.
Luis Diaz dan Harvey Elliott mencetak nama selaku penjaring disusuli jaringan jarak jauh Trent Alexander-Arnold – ketiga tiga gol hasil umpanan Roberto Firmino.
Penyerang dari Brazil itu akhirnya menjaringkan gol keempat sebelum Virgil van Dijk menjadikan kedudukan 5-0 untuk babak pertama.

Hari Bournemouth bertambah buruk apabila Chris Mepham menjaringkan gol sendiri dan Firmino meledak gol kedua peribadinya pada aksi itu untuk menjadikan kedudukan 7-0.
Fabio Carvalho menjaringkan gol kelapan ketika saingan berbaki lapan minit sebelum Diaz melengkapkan kemenangan bergaya Liverpool dengan gol kesembilan.
Ini adalah kekalahan ketiga berturut turut buat Bournemouth dan mereka juga tidak menjaringkan sebarang gol sejak menewaskan Aston Villa pada perlawanan pembukaan.
– AGENSI
