Lima Daripada Enam Telaga Tiub UMS Siap Digali Guna Dana Diumum PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi mengatasi isu bekalan air di UMS pada 31 Mei tahun lalu. Foto X Anwar Ibrahim

KOTA KINABALU, 8 Feb – Lima daripada enam telaga tiub yang dibina di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggunakan dana RM3 juta diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu, siap digerudi setakat semalam.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata baki satu lagi telaga menggunakan dana itu sedang digerudi ketika ini, selain dua lagi telaga baharu yang dibiayai Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Beliau berkata, penggerudian tiga telaga tiub berkenaan bakal disiapkan selewat-lewatnya 26 Mac depan.

Katanya, apabila keseluruhan kerja penggerudian selesai, kampus UMS akan dilengkapi sembilan kemudahan telaga tiub, masing-masing satu yang sudah beroperasi dan lapan telaga baharu yang sedang dalam proses penyiapan.

“Sekarang ada lima (telaga tiub) dalam proses untuk kita sedut air bawah tanah dengan kedalaman antara 80 meter hingga 120 meter.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi mengatasi isu bekalan air di UMS pada 31 Mei tahun lalu. Foto X Anwar Ibrahim

“Setiap telaga tiub itu boleh mengeluarkan antara 120,000 hingga 150,000 liter air sehari,” katanya ketika ditemui selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini, semalam.

Kunjungan itu bagi memaklumkan Tun Juhar yang juga Canselor UMS mengenai pelantikan semula Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Pro-Canselor UMS.

Kasim berkata, dengan adanya sembilan telaga tiub di kampus induk UMS itu nanti, pihaknya berharap ia boleh menampung sekurang-kurangnya 1.2 juta liter air sehari (MLD) untuk keperluan warganya.

Bagaimanapun, sumber air bawah tanah ini bukan untuk diminum, tapi untuk pembersihan dan keperluan di bilik air seperti mandi dan sebagainya.

Berikutan itu, katanya UMS masih memerlukan bekalan air bersih yang disalurkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi menampung keperluan kira-kira 20,000 pelajar dan kakitangannya.

Secara keseluruhan, katanya UMS memerlukan antara tiga hingga lima MLD air yang ketika ini tidak dapat dipenuhi pihak JANS menyebabkan UMS terpaksa mencari sumber air alternatif.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *