Lelaki Warga Asing Maut Dipercayai Terkena Tembakan

Mayat seorang lelaki warga asing ditemukan mati di kawasan kebun ladang sawit persendirian, Sepupok, Niah pada Isnin.
MIRI, 31 Jul – Seorang lelaki warga asing ditemukan mati dengan kesan tembakan pada anggota badan di kawasan kebun ladang sawit persendirian, Sepupok, Niah.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan penemuan mayat itu selepas menerima laporan daripada seorang lelaki juga warganegara asing.
“Mangsa berusia 40 tahun mati dengan kesan tembakan pada dahi, mata, leher dan perut sekitar jam 8 malam Isnin (29 Julai) dan siasatan awal polis mendapati mayat lelaki itu seorang warganegara asing,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, polis masih mengesan suspek serta saksi kejadian dan mendapatkan keterangan dan bukti bagi membantu siasatan.
Tegas Alexson kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Justeru, beliau menasihati masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menular isu-isu yang belum disemak kesahihan di media sosial yang boleh menimbulkan kerisauan dan kegusaran di kalangan masyarakat tempatan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, silalah tampil ke Balai Polis yang berdekatan atau menghubungi di talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan.
“Pihak polis amat menghargai keprihatinan masyarakat terhadap keselamatan dan persekitaran di daerah Miri,” ujarnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
