Lelaki Warga Asing Ditahan Cuba Terjun Dari Bumbung Bangunan Kedai

Anggota bomba dan polis memujuk lelaki warga Indonesia sebelum dibawa turun dan ditahan untuk siasatan lanjut. Foto JBPM Sarawak
KUCHING, 1 Jun – Seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai cuba terjun dari bumbung sebuah bangunan kedai di MJC Batu Kawa di sini pagi tadi berjaya diselamatkan selepas dipujuk oleh pihak berkuasa.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.14 pagi.
“Setibanya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang di lokasi pada jam 8.23 pagi, didapati seorang lelaki dewasa berada di atas bumbung bangunan sebuah kedai MJC Batu Kawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa berusia dalam lingkungan 30an dan bekerja sebagai buruh kasar.
Difahamkan, mangsa sebelum ini turut dilaporkan berada di lokasi sama sekitar jam 3.40 pagi, namun menghilangkan diri sebelum pasukan penyelamat tiba.
“Operasi memujuk dan menenangkan mangsa dilakukan dengan kerjasama pihak polis (PDRM), sebelum lelaki tersebut akhirnya berjaya ditangkap dan dibawa turun dengan selamat pada jam 10.18 pagi.
“Setelah keadaan disahkan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.24 pagi,” tambah kenyataan itu.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

