Maut Di Aceh

Seorang rakyat Malaysia dilaporkan meninggal dunia selepas menjalani aktiviti menyelam di kawasan perairan Iboih di Kota Sabang, Aceh, Indonesia pada 31 Mei 2025. Foto Portal Berita Rakyat Aceh
BANDA ACEH, 1 Jun – Seorang rakyat Malaysia dilaporkan meninggal dunia selepas menjalani aktiviti menyelam di kawasan perairan Iboih di Kota Sabang, Aceh, Indonesia, semalam.
Difahamkan kejadian berlaku kira-kira 9.30 pagi waktu tempatan, ketika lelaki berusia 33 tahun terbabit bersama dua rakan juga rakyat Malaysia dengan ditemani seorang jurulatih menyelam di lokasi kejadian.
Memetik portal Berita Rakyat Aceh, polis Indonesia yang menerima laporan mengenai kejadian bergegas ke lokasi untuk tindakan lanjut.
Menurut laporan itu, selepas menyelam 20 minit pada kedalaman 30 meter kumpulan penyelam terbabit dihanyutkan arus bawah laut.
Mangsa dikatakan cuba naik mengikut arahan jurulatih namun sebaik tiba di permukaan laut, mangsa tidak sedarkan diri dan usaha menyelamat mangsa dilakukan segera dengan menggunakan bot laju ke Pantai Iboih.
Rakan mangsa bersama jurulatih sempat memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum mangsa dibawa ke klinik berhampiran dengan menaiki kereta.
Setibanya di klinik pada 10.30 pagi (waktu tempatan), pihak perubatan memberikan rawatan segera namun mangsa disahkan meninggal dunia.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Sabang untuk proses bedah siasat.
Jenazah diuruskan rakan mangsa dengan bantuan pihak berwajib dan dijangka dibawa pulang ke Malaysia, sebaik selesai proses bedah siasat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

