Lagi Cubaan Seleweng 5,000 Liter Diesel Berjaya Dipatahkan Polis Marin

Lori tangki terbabit ditahan di tepi jalan Lebuh Raya Bintulu-Miri berhampiran Miri Departmental Store Batu 8, Lambir semalam.
MIRI, 7 Ogos – Unit Risikan Marin (URM) Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Miri menggagalkan penyelewengan 5,000 liter minyak diesel yang diangkut menggunakan sebuah lori tangki.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, pemandu lori tangki itu ditahan dalam Ops Taring Kontraban oleh lima pegawai dan anggota URM kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.
Lori tangki muatan kapasiti 16,000 liter itu ditahan di tepi jalan Lebuh Raya Bintulu-Miri berhampiran Miri Departmental Store Batu 8, Lambir di sini.

Hasil pemeriksaan dan pengakuan lisan daripada pemandu lori tangki terbabit mengaku membawa minyak diesel tanpa dokumen.
Pemandu terbabit gagal mengemukan sebarang bukti berdokumen mengenai minyak diesel tersebut, kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Susulan itu, sebuah lori jenis lori tangki berwarna hijau dianggarkan bernilai RM95,000 dan minyak diesel dalam tangki 5,000 liter dianggarkan bernilai RM19,000 telah disita. Nilai keseluruhan rampasan adalah RM114,000.
Semua barang rampasan dan tangkapan diserahkan kepada pegawai penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Miri untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
