Lagenda Liverpool Percaya Harapan Tetap Ada

PETALING JAYA, 30 Sep – Bekas pertahanan Liverpool, Sami Hyypia percaya masih ada masa untuk The Reds bangkit mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (PL), musim ini.

Hyypia yang bersama Liverpool sejak 1999 hingga 2009 mengakui penghijrahan Sadio Mane ke Bayern Munich musim ini memberi kesan kepada skuad Jurgen Klopp yang turut berdepan krisis kecederaan pemain.

“Pasukan memerlukan masa untuk berada pada tahap terbaik dan kita mempunyai masa untuk pemain yang cedera kembali menyertai pasukan.

“Sekarang kita sembilan mata di belakang (pendahulu, Arsenal). Apa sahaja boleh berlaku dan perjalanan liga musim ini masih jauh,” katanya.

Hyypia berkata demikian pada majlis pembukaan rasmi kedai `merchandise’ premium Liverpool FC (LFC) yang pertama di Malaysia oleh Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd di Sunway Pyramid, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports, Vach Pillutla menjangkakan ‘LFC Brand Store’ itu bakal menjadi hub utama untuk penyokong kelab berkenaan mendapatkan koleksi premium LFC.

“Sunway Pyramid dipilih sebagai lokasi pertama kerana kedudukannya yang strategik dan boleh diakses dengan mudah oleh warga Lembah Klang,” katanya.

Selain barangan rasmi LFC, Al-Ikhsan turut menyediakan koleksi mampu milik yang direka khas untuk penyokong kelab berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *