Kondo Mewah Diserbu Disyaki ‘Port’ Edar Dadah

Sebahagian dadah yang dirampas dalam serbuan ke atas kondominium mewah di Kota Kinabalu pada 25 Ogos 2025. Foto Nabalu News

KOTA KINABALU, 27 Ogos – Seorang lelaki ditahan pihak polis selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah menerusi serbuan di sebuah kondominium mewah di Jalan Coastal, awal pagi Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan sekitar jam 12 tengah malam dengan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM11,500, termasuk syabu, ekstasi dan ketamin.

Katanya, serbuan dilakukan hasil maklumat risikan berhubung aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Sebahagian dadah yang dirampas dalam serbuan ke atas kondominium mewah di Kota Kinabalu pada 25 Ogos 2025. Foto Nabalu News

“Hasil pemeriksaan menemukan tujuh paket serbuk ekstasi, 14 paket hablur jernih dipercayai ketamin dan 27 keratan straw berisi dadah jenis syabu.

“Suspek ini dikenal pasti aktif mengedar syabu dan ekstasi di beberapa pusat hiburan sekitar bandar raya,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif empat jenis dadah iaitu amphetamine, methamphetamine, ketamin dan benzo.

Alhusin berkata, siasatan turut membawa polis ke rumah sewa suspek di kondominium sama sebelum berjaya menahan tiga lagi individu termasuk dua wanita berusia 20 hingga 26 tahun.

“Mereka mendakwa hanya datang ke kediaman terbabit untuk berhibur bersama suspek utama dan tidak mengetahui penglibatannya dalam kegiatan pengedaran dadah.

“Tiada penemuan dadah di premis itu namun saringan air kencing ke atas ketiga-tiga mereka juga positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan benzo,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *