Komuniti Diajak Meriah, Semarakkan Semangat Cintakan Negara

Penduduk Kampung Peninjau Baru bersama warga kerja Jabatan Penerangan Bau bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang semasa Program Jiwa Komuniti Madani@Merdeka semalam. Foto Jabatan Penerangan

KUCHING, 25 Ogos – Komuniti setempat diajak memeriah dan menyemarakkan lagi semangat cintakan negara menerusi Progam Jiwa Komuniti Madani@Merdeka yang dianjurkan sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2024.

Pegawai Penerangan Daerah Bau Sumardi Sugiman berkata, sesuai dengan tujuan utama penganjurannya, komuniti setempat digalak serta diajak mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing.

“Penganjuran program ini adalah antara usaha Jabatan Penerangan menyahut seruan kerajaan menjayakan inisiatif 1 rumah 1Jalur Gemilang (1R1JG).

“Ia sesuai dengan tujuan utama program ini iaitu untuk menggelorakan semangat kibarkan Jalur Gemilang dan meningkatkan penyertaan masyarakat dalam menyemarakkan Bulan Kebangsaan khususnya di Kampung Peninjau Baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jiwa Komuniti Madani@Merdeka di Kampung Peninjau Baru semalam.

Program itu berjaya dianjurkan hasil kerjasama antara Jabatan Penerangan Daerah Bau, Komuniti Madani Kampung Peninjau Baru dan Tabika KEMAS Peninjau Baru, Bau.

Sumardi berkata pelbagai aktiviti menarik diadakan semasa program berkenaan seperti ceramah, sembang santai dan edaran bahan penerbitan, pertandingan mewarna kanak-kanak, sukaneka dan hebahan awam.

Mencapai kemerdekaan dan memaknai kemerdekaan wajar dipupuk seawal generasi muda bagi menyemai semangat cintakan negara.

“Aktiviti-aktiviti ini menjadi platform jabatan menyalurkan maklumat kenegaraan untuk memberi kefahaman dan pendedahan kepada peserta program tentang peri pentingnya mengekalkan keamanan serta perpaduan dalam negara Malaysia yang berbilang kaum dan negara,” jelasnya.

Kemuncak program, Komuniti Madani Kampung Peninjau Baru ialah penduduk kampung bergotong-royong memasang dan mengibar Jalur Gemilang di kediaman masing-masing, dewan, bahu jalan dan lokasi strategik di sekitar kampung berkenaan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *