Kes Zara: Peguam Keluarga Mohon Peguam Negara Tangguh Dakwa 5 Remaja

Peguam keluarga Zara Qairina mohon Peguam Negara (AG) menangguhkan pendakwaan terhadap lima remaja dan mengenakan mereka dengan hukuman lebih berat.
KOTA KINABALU, 19 Ogos – Peguam kepada keluarga Zara Qairina Mahathir merayu Peguam Negara (AG) supaya menangguhkan tuduhan lima remaja perempuan Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah esok kerana terlibat dalam kes buli pelajar Tingkatan 1 itu.
Peguam keluarga Hamid Ismail berkata pihaknya memohon penangguhan sementara bagi membolehkan tuduhan lebih berat dikenakan terhadap semua suspek.
Katanya, pihaknya dimaklumkan bahawa kelima-lima remaja berkenaan akan didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli.

“Kami baru mengetahui bahawa lima remaja tersebut akan didakwa di bawah seksyen berkenaan. Kami dengan ini memohon agar Peguam Negara menangguhkan pendakwaan itu sementara waktu.
“Kami berharap mereka dituduh di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman lebih berat. Jika keterangan sedia ada belum mencukupi, siasatan lanjut perlu dilakukan bagi membolehkan pendakwaan dijalankan mengikut peruntukan itu,” katanya.
Hamid berkata sekiranya pendakwaan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah, sebarang penemuan baharu hasil inkues atau siasatan lanjut tidak lagi boleh digunakan untuk mendakwa mereka dengan kesalahan lebih berat.
“Kami sangat khuatir jika pendakwaan diteruskan, perkara ini akan terhalang oleh prinsip ‘double jeopardy’ yang termaktub di dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada Peguam Negara pagi ini melalui emel bagi memohon pertimbangan semula terhadap bentuk pertuduhan yang akan dikenakan.
Semalam, Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar dilaporkan berkata, lima remaja perempuan akan dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu esok berhubung kes melibatkan Zara yang meninggal dunia bulan lepas.
“Kesemua mereka akan didakwa bagi kesalahan membuli,” katanya.
Tambahnya, prosiding akan dijalankan secara tertutup memandangkan kesemua suspek berusia bawah 18 tahun.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

