PMQT: SPRM Hanya Bawa Kes Substantif, Berfakta Ke Mahkamah – PM Anwar

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi menjawab pertanyaan-pertanyaan menteri ketika Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 19 Ogos 2025. Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya akan meneruskan kes substantif, berfakta dan mengikut undang-undang untuk didakwa ke mahkamah.
Perdana Menteri berkata, alasan itu dimaklumkan SPRM kepadanya berhubung sebab hanya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang didakwa di mahkamah, walaupun lapan ADUN dikaitkan dengan skandal rasuah itu seperti dakwaan beberapa pihak.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan, beliau tidak campur tangan dalam kes itu turut dimaklumkan SPRM bahawa maklumat berdasarkan rakaman video dan khabar angin tidak cukup untuk menyokong fakta dan undang-undang dalam mendakwa semua ADUN Sabah yang dikaitkan itu ke muka pengadilan.

“Lapan yang dikaitkan dengan video (rasuah) tetapi SPRM bila tengok kes itu, ia mesti kes yang kuat untuk didakwa, saya tidak campur. Saya tanya kenapa dua? Sebab kes itu yang boleh berkesan, kalau tidak dibuang dari mahkamah.
“Itu alasan mereka, mengambil kes yang substantif, berfakta dan mengikut undang-undang…kalau dari video sahaja (maklumat) tidak boleh,” katanya pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), di Dewan Rakyat, hari ini.
Untuk rekod, dua ADUN berkenaan telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Jun lalu.
Selain Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy yang juga ADUN Tanjung Batu dan Datuk Yusof Yacob yang juga ADUN Sindumin, turut didakwa ahli perniagaan terbabit iaitu Chieng Albert Tei Jiann, 37.
Ketiga-tiga mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga pada 29 Jun lalu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
