Keluar Tangkap Ikan, Bapa Dan Anak Masih Hilang

Operasi SAR hari pertama bagi mencari dua beranak yang dilaporkan hilang di perairan Kabong kini sedang giat dijalankan dengan melibatkan beberapa agensi penyelamat dan penduduk kampung. Foto JBPM Sarawak

KABONG, 4 Sep – Seorang bapa dan anak lelakinya dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan laut Kabong, petang Rabu.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis Komander Maritim Mahkos Juing berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Manis menerima laporan mengenai kejadian tersebut malam Rabu.

“Berikutan itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching menyelaraskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) setelah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.50 pagi tadi.

“Berdasarkan maklumat awal, sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi SAR.

Operasi SAR hari pertama bagi mencari dua beranak yang dilaporkan hilang di perairan Kabong kini sedang giat dijalankan dengan melibatkan beberapa agensi penyelamat dan penduduk kampung. Foto JBPM Sarawak

“Operasi pencarian mangsa tertumpu di kawasan mangsa dipercayai hilang melibatkan keluasan pencarian seluas 13.6 batu nautika persegi,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Mahkos, dua mangsa yang hilang dikenali sebagai Tuah Bujang, 57, dan anak lelakinya Mohd Aiman, 24, yang berasal dari Kabong dan bekerja sebagai nelayan.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihak bomba menerima laporan berkaitan kejadian tersebut jam 9.34 pagi tadi daripada pihak polis.

“Berdasarkan laporan awal, dua beranak tersebut telah keluar ke perairan laut Kabong untuk menangkap ikan pada petang Rabu, jam 2 petang.

“Dilaporkan pada jam 5 petang, hujan turun dengan lebat dan laut bergelora di perairan tersebut.

“Kedua-dua mangsa dilaporkan tidak pulang dan risau dengan keselamatan mereka, satu laporan polis telah dibuat oleh ahli keluarga mangsa berhubung kehilangan mangsa di Balai Polis Kabong pada jam 6.45 pagi ini,” jelasnya.

Susulan itu katanya, pasukan bomba telah melakukan persiapan logistik untuk operasi SAR mangsa di jeti Kabong.

“Kini operasi SAR yang melibatkan beberapa agensi penyelamat telah dilancarkan untuk mencari mangsa di perairan tersebut.

“Namun setakat jam 3 petang tadi, kedua-dua mangsa masih belum ditemui dan operasi masih giat dijalankan,” ujarnya lagi.

– Oleh Kepu Sidi

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *