Kekecewaan Guardiola Jelas Terserlah

NOTTINGHAM, 19 Feb – Pep Guardiola mengakui Manchester City hanya perlu menyalahkan diri sendiri kerana gagal memusnahkan Nottingham Forest apabila seri 1-1 seterusnya merosakkan usaha mereka untuk mengekalkan gelaran Liga Perdana Inggeris (PL).
Arsenal menang 4-2 di Aston Villa malam tadi untuk kembali membawa mereka ke persada liga mengatasi City.
Bagaimanapun skuad kendalian Guardiola berada di landasan tepat untuk kembali di petak depan selepas jaringan Bernardo Silva pada minit ke-40 di City Ground.
Bagaimanapun Erling Haaland melepaskan dua peluang dan Kevin De Bruyne juga mensia-siakan peluang terbaik sebelum Chris Wood menyamakan kedudukan buat Forest pada minit ke-84 yang menggegarkan juara bertahan itu.
Keputusan itu meletakkan City dua mata di belakang Arsenal, yang masih ada satu aksi dalam tangan dan boleh melebarkan kelebihan mereka selepas tewas 3-1 kepada skuad Guardiola pada pertengahan minggu.
Guardiola merumuskan bahawa City menjadi mangsa akibat kesilapan sendiri selepas penyudah longgar.
“Ia persembahan yang baik, kami bermain sangat bagus tetapi tidak menjaringkan gol. Pada tahap ini anda perlu menjaringkan gol dan kerana itulah kami mencicirkan mata,” katanya.
“Pada babak pertama ia sepatutnya sudah 2-0 atau 3-0, kami melepaskan satu cubaan ke gawang dan kami mencicirkan mata. Kami sedih dan kecewa tetapi cara kami bermain sangat bagus.
“Kami terlepas gol yang hanya satu meter dari penjaga gol, bukan sekali, beberapa kali. Kerana itu kami tidak menang. Tapi apa yang saya boleh katakan?”.
Guardiola menunjukkan dirinya tertekan untuk mengejar gelaran apabila dilayangkan kad pada babak kedua.
Pengendali dari Sepanyol itu berbalah dengan pegawai keempat perlawanan selepas berang dengan pengadil, Graham Scott tidak memberikan keputusan memihak mereka selepas Haaland dijatuhkan hasil cabaran Joe Worrall.
“Kami tidak membuat alasan. Saya boleh katakan bahawa banyak yang terjadi musim ini,” kata Guardiola. “Saya bukanlah orang yang berada di sini untuk bercakap mengenai apa yang kami tidak boleh kawal.”
– AFP
