Kebangkitan Salah Luar Biasa – Klopp

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah kecewa selepas gagal menyumbat masuk menerusi sepakan penalti pada babak pertama aksi Liga Perdana Inggeris menentang Newcastle United di Anfield, Liverpool awal pagi tadi. Foto Reuters

LIVERPOOL, 2 Jan – Tiada siapa patut terkejut dengan keupayaan Mohamed Salah bangkit daripada terlepas penalti untuk menjaringkan dua gol ketika menang 4-2 ke atas Newcastle United awal pagi tadi sekali gus meneruskan penguasaan pendahulu Liga Perdana Inggeris (PL), Liverpool unggul dengan tiga mata, kata pengurus Jurgen Klopp.

Salah mensia-siakan sepakan penalti pada babak pertama yang hambar tetapi menukar butnya ketika rehat sebelum memecah kebuntuan pada minit ke-49 dan kemudian menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-86 bagi gol ke-151 PL bersama Liverpool.

“Kami tak terkejut sangat Mo boleh mengubah satu perlawanan, boleh meningkatkan permainan, kerana dia sudah melakukannya beratus kali,” kata Klopp kepada wartawan.

“Tetapi ia hanya satu contoh yang benar-benar bagus. Lebih banyak gol anda miliki, lebih banyak kali anda biasa terlepas peluang dan anda lebih faham apa yang perlu dilakukan untuk terus bersaing dan jika boleh terus meningkat, menggunakan situasi itu dengan lebih baik dan itulah yang Mo lakukan.”

Salah, yang akan menyertai pasukan kebangsaan Mesir pada kempen Piala Negara-Negara Afrika bulan ini, kini menjadi pendahulu penjaring gol terbanyak liga bersama penyerang Manchester City, Erling Haaland dengan 14 gol.

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah kecewa selepas gagal menyumbat masuk menerusi sepakan penalti pada babak pertama aksi Liga Perdana Inggeris menentang Newcastle United di Anfield, Liverpool awal pagi tadi. Foto Reuters

Liverpool mendominasi sepenuhnya aksi menentang Newcastle pada malam yang dibasahi hujan di Anfield, dengan 35 percubaan berbanding lima buat pelawat, 15 daripadanya tepat ke sasaran.

“Saya tidak perlu melihat statistik kerana saya menyaksikannya. Ia amat istimewa,” kata Klopp. “Ia juga sebahagiannya disebabkan penjaga gol mereka (Martin) Dubravka.

“Kami tidak berhenti, ia perkara paling penting.”

Beberapa minggu selepas mengecam penonton di Anfield kerana dua perlawanan yang senyap, pengendali dari Jerman itu memuji penyokong yang memberanikan diri hadir dalam cuaca buruk awal pagi tadi.

“Malam ini suasananya amat luar biasa bagaimana kami berdepannya, beberapa peluang yang disia-siakan ini,” kata Klopp.

Jurulatih itu sendiri terbabit dalam insiden panik apabila beliau kehilangan cincin perkahwinan di padang selepas wisel penamat ketika bertepuk tangan terhadap penonton.

Beliau mencarinya beberapa minit sebelum menjumpai cincin itu kemudian menciumnya dengan wajah tersengih ke arah kamera televisyen.

“Ia pasti benar-benar mencemaskan,” kata Klopp yang kelihatan lega. “Saya pernah kehilangannya di laut dan memerlukan khidmat penyelam profesional. Ia satu kejutan besar tetapi mujurlah jumpa semula.”


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *