Ini Punca Mengapa MIC Kena Kaji Semula Permohonan Sertai PN

SA Vigneswaran berkata persoalan sama ada Pas 'parti ekstremis agama' atau tidak bukan isunya, sebaliknya permohonan sertai PN diputus ketika Bersatu menerajui gabungan pembangkang itu.
KUALA LUMPUR, 2 Apr – MIC menjelaskan parti itu akan membincangkan semula usul menyertai Perikatan Nasional (PN) susulan perubahan pimpinannya, sambil menolak dakwaan keputusan itu disebabkan status Pas yang dipersoal sebagai ‘parti ekstremis agama’.
Presidennya Tan Sri SA Vigneswaran menjelaskan, permohonan menyertai PN dibuat ketika gabungan berkenaan ditunjangi Bersatu, menerusi Muhyiddin Yassin.
“Mesyuarat Majlis Tertinggi MIC berpendapat keputusan mesyuarat agung tahun lalu adalah berdasarkan pada pimpinan PN diterajui Bersatu.
”Sekarang PN diterajui Pas, tapi bukan MIC ada halangan atau ada apa-apa halangan, ia mesti dibawa balik kepada akar umbi balik kerana ada pertukaran pimpinan dalam PN.
“Bukan kita kata parti ekstremis agama atau tak. Ia hanya berdasarkan isu perubahan kepimpinan kerana kita tidak mahu keputusan diambil bercanggah dengan akar umbi,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan memaklumkan, MIC membuat permohonan menjadi anggota gabungan melalui surat dihantar pada 15 Nov 2025 kepada Muhyiddin yang ketika itu pengerusi PN.
Sementara itu, Vigneswaran berkata, mesyuarat parti di peringkat bahagian dan negeri akan diadakan dalam tempoh dua atau tiga bulan ini.
“Selepas kita buat keputusan di peringkat tertinggi, ia perlu dipersetujui akar umbi. Oleh itu Majlis Tertinggi berpendapat bahawa ia perlu dibawa balik kepada bahagian dan negeri untuk membuat keputusan.
“Bukan kita tidak setuju atau setuju dengan kepimpinan Pas menerajui PN,” katanya.
Ia juga menyebabkan penyertaan MIC terbantut dan ketika ini kekal bersama Barisan Nasional (BN).
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
