MIC Nafi Sertai Perikatan Nasional, Siapa Tipu Siapa?

Saravanan berkata, dakwaan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan itu tidak berasas sama sekali selain beliau tidak mempunyai sebarang maklumat rasmi berhubung keputusan tersebut. Foto Bernama
TAPAH, 17 Mac – MIC menafikan sekeras-kerasnya dakwaan parti komponen Barisan Nasional (BN) bertindak keluar daripada gabungan tersebut dan menyertai Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, dakwaan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan itu tidak berasas sama sekali selain beliau tidak mempunyai sebarang maklumat rasmi berhubung keputusan tersebut.
“Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu. Tiada keputusan dibuat oleh MIC untuk menyertai PN setakat ini. Saya sudah jelaskan sejak awal lagi, kita akan serahkan kepada CWC untuk membuat keputusan dan setakat ini CWC belum memutuskan apa-apa,” katanya di sini hari ini.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah ditemui pemberita selepas majlis sumbangan raya kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di Tapah hari ini.
Katanya lagi, MIC tidak pernah mengemukakan permohonan untuk menyertai PN namun hanya membuat pertanyaan lanjut berhubung parti tersebut.
Terdahulu, Takiyuddin dilaporkan sebagai berkata, permohonan MIC untuk menyertai gabungan pembangkang itu telah diluluskan oleh Majlis Tertinggi PN pada Sabtu lalu.

Malah, surat rasmi itu akan diserahkan kepada Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, malam ini.
Persoalannya kini, siapa yang tipu siapa dan siapakah yang benar dalam isu berkenaan?
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
