Guna Kru Warga Asing, Permit Tamat Punca Bot Tunda, Tongkang Disita

Enam individu yang berada di kedua-dua aset ditahan pada 8 Jun 2025. Foto Maritim Malaysia

TANJUNG MANIS, 9 Jun – Sebuah bot tunda bersama tongkang ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) apabila disyaki melakukan pelbagai kesalahan di perairan Tanjung Manis pada Ahad.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mahkos Juing berkata, tangkapan tersebut adalah hasil rondaan dan pemantauan berterusan oleh aset Maritim Malaysia yang giat mengawal keselamatan perairan negara daripada sebarang aktiviti melanggar undang-undang.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot tunda tersebut beroperasi dengan lesen yang telah tamat tempoh serta membawa kru warga asing tanpa permit sah, selain didapati menggunakan tenaga kerja asing semasa pelayaran, yang jelas menyalahi peraturan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Bot tunda, tongkang ditahan di perairan Tanjung Manis apabila disyaki melakukan pelbagai kesalahan pada Ahad. Foto Maritim Malaysia

Dalam masa yang sama juga katanya, enam individu berada atas kedua-dua aset tersebut, terdiri daripada dua kru warga tempatan, tiga warga India dan seorang warga Myanmar, berumur antara 21 hingga 65 tahun turut diperiksa.

“Kesemua kru serta bot dan tongkang terbabit telah ditahan dan dibawa ke jeti Terminal Tanjung Manis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang iaitu Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, Boat Rules 1953 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Melalui kesempatan ini juga, Maritim Malaysia menyeru orang ramai agar terus menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan aktiviti mencurigakan atau insiden kecemasan di laut melalui Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Tanjung Manis di talian 011-35727765 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” tegas Mahkos lagi.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *