Djokovic Kian Hampiri Rekod Sampras

LONDON, 2 Jul – Novak Djokovic dan Carlos Alcaraz semakin menghampiri pertembungan antara dua generasi di Wimbledon, manakala saingan wanita menyaksikan hanya empat pemain dalam kelompok 10 teratas masih bertahan.

Juara bertahan tiga kali Djokovic mengatasi rakan senegara juga dari Serbia, Miomir Kecmanovic 6-0, 6-3, 6-4 di pusingan ketiga dan kekal di landasan untuk menyamai rekod juara tujuh kali lagenda tenis Amerika Syarikat (AS), Pete Sampras, satu di belakang rekod Roger Federer untuk perseorangan lelaki.

Ia adalah kemenangan ke-330 Djokovic dalam karier Grand Slamnya.

“Setakat ini berjalan lancar. Saya mengharapkan standard tinggi daripada diri saya. Anda sentiasa mahu meningkatkan tahap dan ia berjalan lancar,” kata pemain pilihan utama berusia 35 tahun itu.

Djokovic kini memenangi 22 perlawanan berturut-turut di atas gelanggang rumput dan berada dalam kelompok 16 terakhir buat kali ke-14.

Kali terakhir dia tewas di gelanggang rumput ialah kepada Marin Cilic pada final di Queen’s Club empat tahun lalu.

Djokovic akan bertemu pemain wild card Tim van Rijthoven dari Belanda selepas ini. Bermain pada penampilan sulungnya di undian utama, pemain nombor 104 dunia itu mengejutkan Nikoloz Basilashvili dari Georgia, 6-4, 6-3, 6-4.

Van Rijthoven, 25, membuktikan keupayaannya di gelanggang rumput dengan menjuarai Hertogenbosch bulan lalu, menewaskan pemain nombor satu dunia Daniil Medvedev di final.

Jika berjaya menewaskan Van Rijthoven, Djokovic berpeluang bertemu pemain 19 tahun dari Sepanyol Alcaraz yang mara ke pusingan keempat buat pertama kali selepas menewaskan pemain Jerman Oscar Otte 6-3, 6-1, 6-2.

Dalam saingan wanita, Maria Sakkari menjadi pemain keenam dari kelompok 10 teratas tersingkir awal sebelum pusingan keempat.

Pilihan kelima dari Greece itu tewas 6-3, 7-5 di tangan pemain nombor 103 dunia dari Jerman, Tatjana Maria, yang kembali menyertai jelajah tahun lalu selepas cuti bersalin.

– AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *