Bursa Malaysia Tunggu Pemangkin Baharu Minggu Depan

Prestasi Bursa Malaysia dijangka berada pada paras 1,500 hingga 1,530 mata minggu depan.
KUALA LUMPUR, 7 Jun – FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan dalam jajaran 1,500 dan 1,530 mata minggu depan sementara menunggu pemangkin baharu pasaran, kata seorang penganalisis.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pasaran dijangka memberi tumpuan kepada beberapa petunjuk ekonomi penting, seperti indeks harga pengguna (IHP) China bagi bulan Mei, indeks harga pengeluar (IHPR) dan data penganggurannya.
Selain itu, katanya, pelabur juga akan memantau angka IHP dan IHPR Mei Amerika Syarikat (AS) dan pengeluaran perindustrian Zon Eropah bagi bulan April.
“Di dalam negara, kekurangan berita yang menggerakkan pasaran telah mengekalkan indeks utama pada paras stabil dan trend ini dijangka berterusan pada minggu akan datang,” katanya.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pelabur juga akan memantau kadar pengangguran di Korea Selatan, semakan semula keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama Jepun dan angka IHP India – yang mana kesemua faktor-faktor ini boleh mempengaruhi sentimen di seluruh rantau.
Walaupun agak sukar membuat unjuran ketika ini, beliau berkata risiko penurunan FBM KLCI mungkin sebahagiannya diimbangi oleh harga saham yang lebih rendah daripada nilai dan pengukuhan berterusan ringgit.
“Namun begitu, walaupun harga rendah saham Malaysia yang menawarkan penilaian menarik pada masa ini, ringgit yang mengukuh berbanding dolar AS boleh meningkatkan kos kemasukan pelabur asing, yang berpotensi meningkatkan premium risiko berikutan pengurangan daya saing sektor berorientasikan eksport,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

