MCMC Jelaskan Isu Pengumpulan Data Telefon Bimbit Tidak Ganggu Privasi Pengguna

Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sudah pasti melakukan yang terbaik bagi meningkatkan mutu perkhidmatan selular dan internet di negara ini. Foto Facebook Fahmi Fadzil
PENDAPAT, 8 Jun – Tiada maklumat atau data peribadi pengguna diceroboh seperti yang didakwa sesetengah pihak kononnya tindakan pengumpulan data telefon bimbit (MPD) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menjejaskan privasi pengguna di negara ini.
Sebaliknya ia dilakukan berdasarkan standrad antarabangsa seperti yang diguna pakai Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) ke atas mana-mana negara di serata dunia.
Menurut penganalisis data, Muhammad Afif Abdul Rashid, langkah MCMC bukan sekadar mengumpul data dalam penggubalan dasar berasaskan bukti dalam dua domain utama, tetapi ia juga selari dengan perkembangan teknologi semasa, sama seperti kaedah banci yang dilakukan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
”Bezanya ialah maklumat dan data banci Jabatan Perangkaan (DOSM) diperolehi menerusi kaedah secara bersemuka atau secara atas talian setiap 10 tahun tetapi pengumpulan maklumat oleh MCMC mencerap data pengguna bagi membolehkan penambah baikan dilakukan dalam aspek peningkatan kualiti perkhidmatan selular, internet dan sebagainya.

“Justeru, tidak apa yang perlu dibimbangkan kerana kita (MCMC) bukan seperti beberapa negara yang ‘mengintip’ perbualan atau penghantaran maklumat secara elektronik, tetapi ia khusus dilakukan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan terutama di kawasan-kawasan kurang liputan atau isyarat lemah di Sabah dan Sarawak,” jelasnya.
Isu berkenaan timbul ekoran laporan beberapa media luar berhubung tindakan kononnya MCMC berbuat demikian bagi tujuan mengintip dan menyalahgunakan data bagi tujuan tertentu.
Tampil memperjelas perkara itu, MCMC turut menegaskan bahawa tiada Maklumat Pengenalan Peribadi (PII) yang boleh diakses, diproses atau didedahkan kerana MPD digunakan secara ketat bagi penyediaan statistik rasmi.
Ini termasuk Sektor ICT yang digunakan bagi menghasilkan statistik terperinci seperti jumlah langganan jalur lebar mudah alih yang aktif dan kadar penembusan di peringkat negeri, daerah, mukim, kawasan Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pihak berkuasa tempatan serta Sektor Pelancongan bagi mendapatkan petunjuk seperti jumlah pelancong dan perjalanan bagi pelancongan domestik.

”Data MPD yang diminta daripada MNO adalah tanpa nama dan tidak mengandungi PII.
”Selain itu, MNO diberi pilihan sama ada memproses data MPD dalam persekitaran selamat mereka sendiri dan menyerahkan output yang diperlukan kepada MCMC, atau bagi MNO yang tidak mempunyai keupayaan pemprosesan dalaman, mereka hendaklah mengemukakan data tanpa nama itu kepada MCMC untuk diproses.
”Dalam kedua-dua kes, tiada pelanggan individu dapat dikenal pasti melalui data yang dikumpul,” katanya.
Tambahan pula, MCMC memaklumkan bahawa penggunaan MPD sebagai sumber baharu statistik negara adalah hala tuju strategik yang ditetapkan oleh kerajaan untuk memperkukuh kualiti dan ketepatan masa output statistik bagi tujuan dasar serta perancangan negara.
Pelaksanaan MPD adalah menerusi kolaborasi dengan ITU dan Jawatankuasa Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Data Raya dan Sains Data.
Sejak dua tahun lepas, MCMC memaklumkan penglibatan meluas dengan semua MNO telah dilaksana bagi memastikan pemahaman bersama mengenai keperluan data, proses-proses yang terlibat dan perlindungan privasi.
Ini termasuk Bengkel Kebangsaan MPD yang berlangsung dari 2 hingga 5 September 2024 dan dihadiri wakil-wakil daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, ITU, Kementerian Komunikasi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta MNO (CelcomDigi, Maxis, TM Tech, U Mobile dan YTL).
”Inisiatif ini selaras dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa. Ia mencerminkan projek serupa yang telah dilaksanakan di negara-negara seperti Indonesia dan Brazil di mana data telekomunikasi tanpa nama digunakan untuk meningkatkan statistik negara dan pada masa sama, melindungi sepenuhnya privasi pengguna,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook X (Twitter) Instagram Telegram TikTok WhatsApp Channel Laman Web

