Bot Karam: Tiga Warga Indonesia Ditemukan Lemas

Tiga warganegara Indonesia yang dilaporkan hilang dalam tragedi bot karam di Sungai Krian ditemui lemas pada 28 September 2025. Foto JBPM Sarawak
SARATOK, 28 Sep – Tiga lagi mangsa tragedi bot karam di Sungai Krian ditemui lemas hari ini.
Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie berkata, ketiga-tiga mayat tersebut ditemui terapung di tiga lokasi berbeza.
“Mayat pertama telah ditemui pada jam 7.45 pagi, terapung di kawasan Lubok Nibong iaitu jarak lebih kurang 1 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi (PKO), mayat kedua pada jam 8.40 pagi di kawasan Kupang – Kaba iaitu jarak lebih kurang 5 kilometer dari PKO.
“Sementara itu, mayat mayat ketiga ditemui pada jam 9.30 pagi di kawasan Kupang – Kaba iaitu jarak lebih kurang 3 kilometer dari PKO.
“Mayat tersebut telah ditemui oleh penduduk kampung dan juga pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi SAR dan sejurus ditemui, kesemua mayat tersebut terus dibawa ke Hospital Saratok untuk proses selanjutnya,” katanya kepada media, hari ini.
Dalam kejadian itu, sepuluh mangsa tersebut ialah pekerja sebuah syarikat pembinaan jambatan di Sungai Krian yang sedang dalam perjalanan pulang bekerja menyeberangi Sungai Krian dari Jeti Sessang ke Jeti Pusa menggunakan sebuah bot.
Ketika sampai di tengah sungai tersebut, bot yang dinaiki mangsa telah karam.
Enam orang berjaya berenang dan berpaut di tepi tongkang dan diselamatkan dengan menggunakan sebuah bot lain, manakala empat yang lain dilaporkan hilang.
Seorang mangsa iaitu juragan bot yang dikenali sebagai Mohd Asfar Sulaiman, 25 tahun, warga tempatan telah ditemui lemas, semalam.
Menurut Mathew, tiga mangsa yang ditemui pada hari ini dikenal pasti sebagai Gunawan Pawadi, 35, Budianto Yapani, 50, dan Karyono, 41, kesemuanya warganegara Indonesia.
“Berikutan penemuan ketiga-tiga mayat tersebut, operasi SAR yang dilancarkan pada hari kedua telah ditamatkan pada jam 11.40 pagi,” katanya lagi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


