Bomba Selamatkan 15 Mangsa Banjir Terperangkap Di Sekolah

Anggota bomba menaiki kenderaan pacuan empat roda melalui jalan yang dinaiki air di Stabau pada Khamis. Foto JBPM
SIBU, 22 Ogos – Seramai 16 orang termasuk guru dan murid dipindahkan dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yong Shing, Stabau dan Jalan Kong Yit Khim di sini hari ini selepas laluan masuk ke kawasan itu ditenggelami air.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.14 petang dan segera mengerahkan anggota dari Sibu Jaya ke sekolah berkenaan yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai bomba.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati paras air telah mencecah kira-kira tiga kaki, iaitu pada paras pinggang, yang menghalang laluan kenderaan kecil.
“Hanya kenderaan berat atau pacuan empat roda yang boleh melaluinya,” katanya.
Beliau menjelaskan, mangsa yang terperangkap terdiri daripada enam guru, tujuh murid, seorang kerani dan dua tukang cuci.
Pasukan bomba segera memindahkan kesemua mangsa menggunakan pikap dan LFRT Atego ke lokasi yang lebih selamat.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Balai Bomba Sibu Jaya, di mana ahli keluarga mereka telah menunggu untuk membawa mereka pulang,” tambahnya.
Operasi pemindahan ini tamat pada jam 4.25 petang tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

