Bayi Lelaki Cukup Sifat Ditemukan Dalam Kebun Kelapa Sawit

Bayi lelaki cukup sifat dan masih hidup ditemukan di kawasan ladang sawit. Foto Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Lahad Datu
LAHAD DATU, 19 Ogos – Seorang bayi lelaki cukup sifat ditemukan masih bernyawa di sebuah kebun sawit di Kampung Sri Aman, Jalan Silam, di sini, pagi tadi.
Bayi berkenaan dijumpai orang awam kira-kira jam 8 pagi sebelum kejadian dimaklumkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata bayi itu segera dihantar ke Hospital Lahad Datu bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Bayi lelaki berkenaan ditemui dalam keadaan bernyawa dan kini berada di Hospital Lahad Datu untuk rawatan.
“Polis sedang mengesan suspek utama yang dipercayai terbabit dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.
“Sabit kesalahan, boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Dzulbaharin turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 089-881255 atau balai polis terdekat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


