Bas Jatuh Dalam Longkang, Tiga Penumpang Dikejarkan Ke Hospital

Keadaan bas mini yang terjatuh ke dalam longkang besar dekat simpang Bukit Panjang Road dan Bukit Panjang Ring Road pada 19 Ogos 2025. Foto Facebook SG Road Vigilante
SINGAPURA, 19 Ogos – Tiga penumpang cedera dikejarkan ke hospital selepas sebuah bas mini terjatuh ke dalam longkang besar dekat Balai Rakyat Senja-Cashew di Bukit Panjang pada petang tadi.
Polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata, mereka dimaklumkan tentang kemalangan yang berlaku dekat simpang Bukit Panjang Road dan Bukit Panjang Ring Road itu sekitar 1.10 petang, lapor The Straits Times (ST).
Kemalangan itu melibatkan sebuah bas dan sebuah van, kata polis.

Tiga orang diselamatkan selepas pegawai SCDF menggunakan tangga untuk memasuki Longkang Besar Pang Sua itu.
Pemandu bas mini, seorang lelaki berusia 68 tahun, dan dua penumpang, wanita berusia 14 dan 53 tahun, dibawa ke hospital dalam keadaan sedar, kata polis.
Dua orang dibawa ke Hospital Tan Tock Seng dan seorang lagi dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kandang Kerbau (KKH).
Gambar yang dimuat naik ke Facebook menunjukkan bas mini tersebut, dengan bampar yang rosak, berada di tengah-tengah longkang itu.
Beberapa pekerja dilihat berhampiran kenderaan tersebut.
Bas mini itu dipercayai milik Sekolah Masyarakat Antarabangsa, sebuah sekolah antarabangsa di Jubilee Road, dekat West Coast Road.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
