Banjir Baling – Penduduk Dakwa Tiga Mangsa Tak Sempat Selamatkan Diri

BALING, 5 Jul – Tiga mangsa kejadian banjir dan kepala air semalam dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri selepas rumah mereka di Kampung Iboi, Kupang, di sini, runtuh terkena arus deras air dari arah bukit.

Mangsa dikenali sebagai Salmah Mat Akib, 53, anaknya, Mohd Khairul Ikhwan, 14, dan menantunya, Nurul Hanis Abu Hassan, 23.

Jiran mangsa, Sopian Mohd Aziz, 53, berkata jarak rumah tiga beranak itu yang terletak berhampiran Sungai Kupang menyebabkan mereka paling teruk terkena arus kepala air.


“Kejadian banjir semalam berlaku terlalu cepat. Penduduk tidak sempat berbuat apa-apa kerana keadaan sangat kelam kabut.

“Aliran sungai yang melimpah terlalu deras membawa lumpur dan kayu dari arah bukit,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sopian berkata, Salmah juga mengalami masalah kesihatan selepas diserang angin ahmar sejak beberapa tahun lalu.

“Penduduk berdoa dan berharap pasukan penyelamat dapat menemui tiga beranak itu dalam keadaan selamat.

“Kejadian petang semalam turut menghanyutkan beberapa kenderaan, termasuk van dan masing-masing tiga kereta serta motosikal yang diletak di hadapan kedai saya,” katanya yang mengusahakan kedai runcit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *