Anggota Tentera Darat Bantu Selamatkan Mangsa Banjir Di Lundu

Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi 7 Rejimen Sempadan yang sedang menjalankan latihan Eksesais Satria Perkasa membantu memindahkan mangsa banjir terkandas di Lundu.
LUNDU, 2 Mac – Tentera Darat Malaysia (TDM) hari ini membantu menyelamat dan memindahkan mangsa banjir yang terkandas susulan hujan lebat di Kampung Pasir Tengah di sini.
Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) dalam satu kenyataan hari ini berkata, bantuan itu menerusi pasukan 7 Rejimen Sempadan yang sedang menjalankan latihan Eksesais Satria Perkasa di kawasan am Kampung Pasir Tengah, Lundu.
Katanya, aktiviti membantu dan menyelamatkan mangsa banjir yang terjejas itu bermula seawal jam 8 pagi dan berakhir jam 11 pagi.
“Sebanyak 13 keluarga melibatkan 49 penduduk kampung telah berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir di SK Pasir Tengah.

“Secara keseluruhan, atur gerak semasa ATM di kawasan yang terjejas adalah seramai seorang pegawai dan 15 anggota lain-lain pangkat (LLP) dari pasukan 7 Rejimen Sempadan,” katanya.
Markas berkata, sebanyak dua bot dilengkapi Outboard Motors (OBM) dan 32 pasang jaket keselamatan telah diaturgerakkan.
Katanya lagi, beberapa pasukan di bawah naungan 31 Briged turut diletakkan dalam keadaan siap sedia untuk diaturgerakkan untuk membantu membuat pemindahan dan aktiviti pembersihan melibatkan beberapa kawasan yang telah dikenal pasti.
“TDM terus komited bagi melaksanakan tugas-tugas sekunder dalam Ops Murni bagi membantu agensi-agensi awam lain dalam usaha membersihkan kawasan kediaman mangsa banjir,” ujarnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
