Aminuddin Terima Kunjungan Hormat Delegasi Persatuan Pesara Kerajaan, LLM

SEREMBAN, 13 Jul – Walaupun sibuk dengan pelbagai tugas rasmi harian namun Menteri Besar Negeri Sembilan tetap ceria menerima kunjungan pelbagai pihak bagi meneruskan agenda pembangunan buat rakyat.
Petang tadi bertempat di Kediaman Rasmi, Dato’ Seri Aminuddin Harun menerima kunjungan hormat daripada YAD Dato’ Paduka Raja Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM).

Menurut beliau, antara perkara yang dibincangkan adalah berkenaan Persidangan Perwakilan PPKM yang bakal diadakan di Negeri Sembilan tidak lama lagi.
“Antara yang sempat kami bincangkan adalah berkenaan Persidangan Perwakilan PPKM yang bakal diadakan di Negeri Sembilan,” ujar beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak PPKM kerana sudi memilih Negeri Sembilan sebagai lokasi persidangan dan kerajaan negeri bersedia menerima kehadiran para perwakilan seluruh negara.
“Terima kasih saya ucapkan kepada PPKM kerana memilih Negeri Sembilan sebagai lokasi persidangan. Insya-Allah, Negeri Sembilan bersedia menerima kehadiran para perwakilan yang datang dari seluruh negara,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menerima kunjungan hormat daripada Tuan Ir. Sazali Harun, Timbalan Ketua Pengarah (Bisnes) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Pertemuan tersebut berkisar tentang penambahbaikan lebuh raya di Negeri Sembilan dan beliau mengucapkan terima kasih di atas kunjungan delegasi LLM yang memberi manfaat dan berharap pelan yang telah dirancang mampu memberikan pulangan terbaik buat rakyat Negeri Sembilan.

“Pada petang ini juga saya telah menerima kunjungan hormat daripada Tuan Ir. Sazali Harun, Timbalan Ketua Pengarah (Bisnes) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
“Antara perkara yang menjadi topik perbincangan kami adalah berkenaan penambahbaikan lebuh raya di Negeri Sembilan.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Ir. Sazali Harun serta delegasi atas kunjungan ini. Semoga semua yang dirancang mampu memberikan pulangan terbaik buat rakyat Negeri Sembilan, Insya-Allah,” ujar beliau lagi.
Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:
Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun
Twitter: https://twitter.com/MenteriBesarNS
Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun
