Aminuddin Rasmi Tarikan Terbaharu Buat Pelancong Di Penghujung Banjaran Titiwangsa

JEMPOL, 22 Okt – Sekiranya anda berkunjung ke Negeri Sembilan, atau lebih tepat lagi ke daerah Jempol, satu lagi mercu tanda pelancongan terbaharu dirasmikan hari ini.
Perasmian Menara Tinjau Bukit Beruang yang terletak di Serting Hulu setinggi kira-kira 15 meter itu yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun, menambah senarai terkini lokasi tarikan pelancong ke negeri ini dengan menawarkan kehijauan alam semulajadi yang terletak di penghujung Banjaran Titiwangsa itu.

Menurut Aminuddin, menara tersebut boleh dilalui melalui trek pendakian yang bermula daripada Taman Eko Rimba Serting Hulu dan merupakan satu tarikan baru buat para pengunjung bukit ini yang dikongsikan di laman Facebook rasmi beliau pada Sabtu.
“Merasmikan menara tinjau Bukit Beruang pada petang tadi.

“Menara ini boleh diakses melalui trek pendakian yang bermula daripada Taman Eko Rimba Serting Hulu dan merupakan satu tarikan baru buat para pengunjung bukit ini,” katanya.
Turut hadir, isteri Menteri Besar, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof; EXCO Kerajaan Negeri, Teo Kok Seong dan para pegawai daerah Jempol.

Para pengunjung dari Lembah Klang serta dari selatan tanah air yang ingin menikmati panorama mengasyikkan dengan deruan udara nyaman dan segar, turut boleh melakukan aktiviti riadah dan sukan bersama keluarga.
“Untuk makluman, menara yang terletak di penghujung Banjaran Titiwangsa ini menawarkan pemandangan menarik serta fasiliti yang sesuai untuk para pengunjung beriadah bersama keluarga,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak Pejabat Daerah dan Tanah Jempol atas inisiatif yang sangat menarik ini dan berharap lebih ramai penggemar eko-pelancongan untuk datang meneroka negeri ini yang kaya dengan khazanah alam dan keindahan semulajadi.
“Tahniah saya ucapkan kepada pihak Pejabat Daerah dan Tanah Jempol atas inisiatif yang sangat menarik ini.

“Semoga pembinaan menara ini mampu menarik lebih ramai peminat eko-pelancongan untuk meneroka Negeri Sembilan yang kaya dengan khazanah alam ini, Insya-Allah,” tambahnya.
Dengan pembukaan rasmi menara tinjau berkenaan, ia dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat yang menawarkan gerai jualan serta aktiviti sampingan yang dianjurkan dari semasa ke semasa.
Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:
Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun
Twitter: https://twitter.com/MenteriBesarNS
Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun
