Ambil Kira Semua Aspek Punca Nahas Maut

Keadaan bas persiaran yang membawa 42 pelajar UPSI serta pemandu dan kelindan di Jalan Raya Timur-Barat dekat Tasik Banding, Gerik pada 9 Jun 2025.

PENDAPAT, 10 Jun – Negara sekali lagi dirundung duka apabila 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terkorban dalam kemalangan bas sewa khas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik, kelmarin.

Lebih menyayat hati, tragedi ini berlaku tidak sampai sebulan selepas kemalangan meragut sembilan nyawa anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kemalangan di Teluk Intan pada 12 Mei lalu.

Setakat ini, bas terbabit dilaporkan disewa khas untuk membawa 42 pelajar dari pelbagai lokasi di Terengganu dan Kelantan ke kampus di Tanjung Malim, Perak selepas cuti Aidiladha.

Laporan awal mendapati kemalangan berlaku selepas bas berkenaan melanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV). Kita menyerahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung kemalangan itu.

Namun, insiden itu tetap menimbulkan persoalan berkenaan keselamatan kenderaan sewa dan pemantauan terhadap pemandu. Adakah bas melalui pemeriksaan teknikal ketat oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Adakah pemandu mematuhi prosedur keselamatan dan mendapat cukup rehat untuk memandu bagi menempuh jarak jauh serta pemanduan pada waktu malam.

Setakat ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelajar menyewa bas akan dikaji semula. Ini langkah penting bagi memastikan tragedi sebegini tidak berulang dan keselamatan pelajar sentiasa terjamin.

Walaupun bas berkenaan tidak disewa secara rasmi oleh universiti, garis panduan dan pemantauan ketat mesti diwujudkan bagi memastikan keselamatan pelajar tidak dikompromi.

Pihak berkuasa khasnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), PUSPAKOM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula harus menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti punca kemalangan, sama ada kegagalan teknikal, kecuaian pemandu atau kelemahan lain.

Sebahagian barangan peribadi yang ditemui milik pelajar UPSI yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, pada 9 Jun 2025.

Siasatan ini bukan sekadar mahu mencari kesalahan, tetapi memastikan sebarang kelemahan yang wujud diatasi dan langkah pencegahan dapat dirumus bagi melindungi semua pengguna jalan raya.

Sementara itu, aspek kualiti infrastruktur jalan raya juga harus diberi perhatian serius kerana keadaan jalan berkenaan mungkin juga menjadi punca kemalangan.

Laluan penting menghubungkan timur dan barat Semenanjung itu diketahui mengalami susut upaya atau mulai tidak memenuhi spesifikasi keselamatan dan kejuruteraan binaan terkini.

Apatah lagi jalan berkenaan diketahui sebagai laluan berbukit, mempunyai banyak selekoh tajam, gelap pada waktu malam kerana tiada pencahayaan mencukupi. Semua ini menjadi ancaman nyata kepada pengguna jalan raya dan boleh menjadi perangkap maut kepada mereka.

Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) wajib bertindak segera untuk menaik taraf serta menambah ciri keselamatan sepanjang jalan berkenaan demi pengguna kerana ia kini semakin penting kepada kecekapan pengangkutan darat antara timur serta barat Semenanjung.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *