Amang Seksual Remaja Lelaki, ‘Abuya’ Didakwa Di Terengganu

Tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki. Foto Hiasan
KUALA TERENGGANU, 19 Sep – Seorang mudir sebuah pondok di Kelantan yang dikenali sebagai ‘Abuya’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki.
Tertuduh, Mohamad Aswadi Yah, 46, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Nor Aklima Wan Salleh.
Mengikut pertuduhan, dia melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 14 tahun.
Tertuduh melakukan perbuatan itu pada 15 Februari lalu di sebuah premis di Jalan Pantai Batu Rakit, di sini kira-kira jam 9 malam.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Selain itu tertuduh berdepan dengan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 5 November depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanim Ayim manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Irwan Sumadi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


