Pandu ‘Forklift’ Melulu, Rakan Kerja Terkorban

Satu kemalangan maut berlaku membabitkan sebuah kenderaan iaitu forklift dan seorang pekerja (pejalan kaki) di kilang berkenaan.
KUALA LANGAT, 20 Sep – Seorang lelaki tempatan maut apabila dilanggar oleh sebuah forklift yang dipandu rakan sekerjanya dipercayai secara melulu di sebuah kilang di Banting, dekat sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, berkata pihaknya menerima panggilan MERS 999 kira-kira jam 4.04 petang hari sama yang memaklumkan satu kemalangan maut berlaku membabitkan sebuah kenderaan iaitu forklift dan seorang pekerja (pejalan kaki) di kilang berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati, kemalangan berlaku kira-kira jam 3.14 petang iaitu semasa forklift yang dipandu seorang lelaki tempatan melalui lorong C1 dan C2 di gudang dalam kilang berkenaan.
“Apabila sampai di lokasi kemalangan, ketika itu seorang lagi pekerja yang juga lelaki tempatan (mangsa pejalan kaki) sedang membuat pemeriksaan stok kontena dan bergerak ke tengah laluan. Pada masa sama, forklift sedang bergerak terus dan melanggar mangsa pejalan kaki di laluan itu.
“Akibat kemalangan itu, mangsa yang berumur dalam lingkungan 20-an tercampak dan jatuh di permukaan jalan serta mengalami kecederaan di bahagian dada, manakala pemandu forklift yang berumur30-an tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Akmalrizal berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan oleh penolong pegawai perubatan Hospital Banting.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu dan membahayakan.
“Pemandu forklift, saksi bebas yang melihat kemalangan dan waris sudah hadir memberikan keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Langat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 03-31872222 atau 014-5006072,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


