Ziarah MADANI: PM Anwar Salur Sumbangan Kepada 10 Keluarga Di Putatan

Ahmad Farhan mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan semasa sesi Ziarah MADANI menjelajah kampung sekitar Petagas, Putatan pada 10 November 2025. Foto Farhan Fauzi
PUTATAN, 10 Nov – Biarpun telah pulang ke ibu negara setelah menamatkan lawatan kerja tiga hari ke Sabah, namun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah melupakan rakyat negeri di bawah bayu itu.
Menerusi program Ziarah MADANI, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyampaikan sumbangan kepada 10 buah rumah yang didiami warga tempatan yang uzur serta keluarga yang memerlukan perhatian dan bantuan.

Sumbangan daripada Anwar disampaikan menerusi Setiausaha Politiknya, Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi kesemua keluarga berkenaan bersama Ketua Cabang KEADILAN Putatan, Awang Husani Sahari sekitar DUN Petagas dalam parlimen berkenaan.
Menerusi hantaran di Facebook Ahmad Farhan yang dikongsikan Perdana Menteri berkata, setiap kunjungan membuka ruang untuk mendengar sendiri luahan dan keperluan mereka.

“Alhamdulillah, aktiviti di Putatan diteruskan dengan program Ziarah MADANI yang menyantuni masyarakat sekitar DUN Petagas.
“Lantaran itu, saya gunakan ruang ini untuk sampaikan sumbangan daripada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi membantu untuk meringankan beban mereka.

“Semoga Allah SWT mengurniakan aafiyah, kekuatan dan kesejahteraan kepada semua yang diziarahi. Insya-Allah,” ujar Ahmad Farhan.
Menerusi perkongsian itu, para penerima menerima sumbangan berupa wang tunai bagi meringankan beban mendapatkan rawatan di hospital selain ada di antaranya memerlukan bantuan sara hidup serta persekolahan anak-anak yang masih menuntut di sekolah.

Perdana Menteri mengakhiri lawatan kerja dengan menyempurnakan bangunan baharu Hospital Tawau pagi tadi serta menghadiri ziarah mesra ke Pasar Semarak menyantuni para peniaga dan pengunjung.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
