Terlalu Awal Ewon Buat Keputusan Letak Jawatan – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa bermesra dengan para pelajar, peniaga dan masyarakat setempat semasa lawatan beliau ke Pasar Semarak, Tawau pada 10 November 2025. Foto Instagram Anwar Ibrahim
TAWAU, 10 Nov – Tindakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick meletakkan jawatan Kabinet disifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu keputusan yang terlalu awal.
Perdana Menteri berkata, keputusan sama ada kerajaan akan merayu atau tidak terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah masih belum dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri.

“Peguam Negara baru sahaja merujuk perkara ini tiga hari lalu. Mesyuarat Jemaah Menteri akan diadakan esok untuk meneliti dan memuktamadkan pendirian kerajaan,” katanya ditemui media selepas menghadiri Jelajah Malaysia Digital Sabah di Pasar Taman Semarak, hari ini.
Pada 8 November lalu, Ewon mengesahkan meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan menerusi muat naik kenyataan di Facebook tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, kerajaan tidak boleh membuat keputusan tergesa-gesa kerana setiap langkah perlu mengikut proses perundangan yang betul.
“Pandangan peribadi saya cenderung untuk elak daripada merayu, …appeal itu sudah saya jelaskan. Tapi, kita kena dengar dulu penjelasan Peguam Negara, baca dulu penghakiman yang baru diterima tiga hari lalu,” katanya.

Beliau menegaskan, sebagai pemimpin, tindakan yang diambil tidak boleh dipengaruhi sentimen atau tekanan politik semasa lebih-lebih lagi dilihat mengambil kesempatan daripada Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah ke-17.
“Sebagai kerajaan, kita mesti berpaksikan fakta dan undang-undang. Saya faham keresahan rakyat Sabah, tapi prosesnya mesti dilalui,” katanya.

Anwar turut menegaskan Kerajaan MADANI kekal komited terhadap pelaksanaan dasar berasaskan undang-undang serta memastikan peruntukan kepada Sabah lebih terjamin berbanding sebelum ini.
Sementara itu, Perdana Menteri mengesahkan bahawa Mesyuarat Khas Jemaah Menteri esok tidak akan membincangkan mengenai rombakan Kabinet seperti yang diperkatakan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
