Warga Emas Maut Kereta Kena ‘Sondol’ Di Lebuh Raya

Keadaan di lokasi kemalangan di Kilometer 314 Lebuh Raya Utara Selatan di Tapah pada 24 Februari 2026. Foto JBPM Perak
TAPAH, 24 Feb – Seorang wanita maut setelah kereta dinaikinya terlibat kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kilometer 314 Lebuh Raya Utara Selatan di Tapah hari ini.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.06 petang tadi.
Beliau berkata, berlaku kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iautu sebuah lori treler membawa muatan batu, kenderaan pelbagai guna (MPV) Lexus dan sebuah kereta jenis BMW.
“Kemalangan telah mengakibatkan lori treler dan kereta Lexus terbabas ke dalam gaung sedalam 15 meter. Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati terdapat tiga orang mangsa tersepit dalam kereta Lexus manakala pemandu kereta BMW dan pemandu lori terselamat.
“Penumpang kereta Lexus terdiri dari tiga orang iaitu pemandu seorang lelaki Melayu berusia 43 tahun yang tersepit dan mengalami kecederaan.
“Penumpang sebelah kiri bahagian hadapan, lelaki Cina, 77, tersepit dan mengalami kecederaan serta penumpang di bahagian belakang iaitu perempuan Cina berusia 71 tahun,” katanya di Tapah hari ini.
Beliau berkata, mangsa wanita berkenaan tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir ke lokasi kemalangan.
Shazlean berkata, Ketua Operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dan mengarahkan anggota melaksanakan kerja penyelamatan.
“Mereka menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan membawa mangsa ke atas jalan dengan menggunakan pengusung (stretcher).
“Mangsa yang cedera kemudiannya diberikan rawatan awal dan dihantar ke hospital dengan menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang telah disahkan meninggal dunia diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



