Peneroka Haram Yahudi Biadab Bakar Pintu Masuk Masjid

Penduduk Palestin melihat kerosakan dilakukan peneroka haram Israel di Masjid Abu Bakr Al-Siddiq di Nablus, Tebing Barat. Foto AFP
RAMALLAH, 24 Feb – Kumpulan peneroka haram Yahudi bertindak melampau dengan membakar pintu masuk sebuah masjid dan menconteng dinding dengan slogan perkauman dalam kejadian di kampung Tel, Tebing Barat semalam.
Memetik laporan agensi berita Anadolu, Kementerian Wakaf Palestin mengesahkan serangan khianat tersebut menyasarkan Masjid Abu Bakr Al-Siddiq yang terletak berhampiran bandar Nablus.
Insiden ini merupakan sebahagian daripada siri keganasan yang semakin meningkat dilakukan oleh peneroka haram Yahudi terhadap penduduk Palestin sejak konflik bermula pada 7 Oktober 2023.

“Kumpulan ini menyerang tapak suci Islam dan harta benda rakyat setiap hari, dengan peningkatan yang sistematik dari segi kekerapan dan bentuk serangan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Menurutnya, sebanyak 45 masjid diserang oleh peneroka haram, di bawah perlindungan tentera Israel, tahun lalu.
Menurut saksi, peneroka haram menyerbu pekan Tal, barat Nablus, awal pagi Isnin dan membakar sebahagian daripada Masjid Abu Bakr Al-Siddiq.
Pintu masuk dan bahagian hadapan masjid rosak, manakala peneroka menyembur cat slogan berunsur perkauman pada dinding luar, termasuk nama kumpulan “Price Tag.”
“Price Tag” ialah kumpulan berhaluan kanan yang ditubuhkan pada Julai 2008, bertujuan merampas tanah yang diduduki, melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin dan menghalang mereka daripada menentang pendudukan Israel yang berlarutan sejak beberapa dekad lalu.
Pembakaran sebahagian Masjid Abu Bakr Al-Siddiq itu “jelas menunjukkan tahap keganasan yang dicapai oleh jentera hasutan perkauman Israel terhadap tapak suci Islam dan Kristian di Palestin,” menurut kementerian itu, sambil menyifatkannya sebagai “serangan terang-terangan terhadap umat Islam dan sentimen mereka.”
“Serangan berulang terhadap tapak suci, termasuk arson, penutupan dan menghalang azan hanya bukti keganasan melampau yang menjadi amalan pihak pendudukan,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

