Warga Asing Ditahan Disyaki Curi Motosikal Di Tiga Lokasi Berasingan

Warga asing berusia 38 tahun itu ditahan selepas polis berjaya menemui tiga buah motosikal yang dilaporkan dicuri sekitar Sibu Jaya dan Mukah. Foto Hiasan
MUKAH, 29 Feb – Pihak berkuasa menahan seorang lelaki warga asing dipercayai membawa kepada penemuan tiga buah motosikal yang dilaporkan hilang di tiga lokasi berasingan baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias, suspek kes dalam lingkungan 38 tahun itu merupakan pekerja ladang yang ditahan di pintu masuk sebuah ladang di sini baru-baru ini.
“Hasil pemeriksaan polis mendapati motosikal yang ditunggang suspek telah dilaporkan hilang di Sibu Jaya pada 16 Februari lalu.
“Ekoran daripada tangkapan itu, dua lagi motosikal yang dilaporkan hilang di Kampung Sungai Alo pada 26 Februari dan kawasan rumah panjang di Selangau pada 27 Februari lalu berjaya ditemui di hadapan rumah pekerja ladang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan suspek kini direman selama empat hari sehingga 4 Mac depan bagi membantu siasatan serta mengenal pasti sama ada kegiatan berkenaan dilakukan secara bersendirian atau berkumpulan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tempoh tidak kurang satu tahun atau tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda,” tambah beliau.
Sehubungan itu katanya, operasi untuk membanteras kegiatan curi kenderaan akan dijalankan secara berterusan.
Difahamkan juga suspek akan didakwa di mahkamah setelah pihak polis melengkapkan siasatan dalam masa terdekat.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
