Wanita Thailand Kantoi Tukar Plat Palsu Beli Diesel Subsidi Malaysia

Suspek wanita warga Thailand disyaki menggunakan nombor pendaftaran Malaysia disyaki palsu pada pikap dari negara jiran pada 16 Ogos 2025.

KUALA NERANG, 18 Ogos – Sepandai-pandai ‘tupai’ melompat, lama-lama ‘kantoi’ juga.

Pepatah berkenaan amat cocok dengan situasi yang dialami seorang wanita Thailand yang licik menipu menggunakan nombor pendaftaran Malaysia pada pikap dari negara jiran untuk membeli diesel di sebuah stesen minyak di sini bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Tindakan wanita berusia lingkungan 40-an itu terbongkar hasil pemantauan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah cawangan Alor Setar.

Suspek wanita warga Thailand disyaki menggunakan nombor pendaftaran Malaysia disyaki palsu pada pikap dari negara jiran pada 16 Ogos 2025.

Pengarah KPDN negeri, Muhammad Nizam Jamaludin, berkata pemantauan dilakukan susulan aduan awam dan risikan KPDN.

“Ketika pemantauan awal, didapati sebuah pikap sedang mengisi diesel di stesen minyak tersebut. Pikap itu kemudian bergerak ke bahagian belakang stesen setelah pengisian selesai,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pemantauan lanjut mendapati pemilik pikap bertindak licik dengan menukarkan nombor pendaftaran tempatan disyaki palsu kepada nombor pendaftaran asal kenderaan tersebut yang berdaftar di luar negara.

“Pasukan terus membuat serbuan dan hasil pemeriksaan menemui sejumlah diesel yang disimpan di dalam tangki ubah suai pikap itu. Seorang wanita warga Thailand berusia lingkungan 40-an yang memandu pikap tersebut ditahan untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Jelasnya, pemeriksaan susulan telah dilakukan ke atas stesen minyak itu dan berdasarkan cetakan semula resit jualan, didapati stesen berkenaan telah menjual sejumlah 273 liter diesel dalam satu transaksi kepada kenderaan tersebut.

“Perkara itu telah melanggar Arahan Pengawal Bekalan berhubung had penjualan kepada kenderaan berdaftar tempatan dalam satu hari. Kertas siasatan turut dibuka terhadap stesen minyak berkenaan,” katanya.

Tambahnya, pasukan serbuan menyita diesel dianggarkan sebanyak 273 liter dengan nilai RM791.73, sebuah pikap jenis Isuzu D-Max, resit pembelian dan dokumen perniagaan untuk siasatan lanjut.

“Jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM30,791.73. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *