PL: United Tersungkur Di Kaki Arsenal Di Old Trafford

Pemain Arsenal Riccardo Calafiori menjaringkan gol ketika menentang Manchester United di Old Trafford pada 17 Ogos 2025. Foto Reuters
MANCHESTER, 18 Ogos – Kempen musim baharu Liga Perdana Inggeris (PL) menyaksikan Manchester United memulakan langkah kiri apabila tersungkur di tangan Arsenal pada pertembungan musuh tradisi dua gergasi England itu di Old Trafford sebentar tadi.
Gol Riccardo Calafiori pada minit ke-13 menjadi pemisah selepas pemain antarabangsa Itali itu menyudahkan peluang terbaik dari jarak dekat hasil kesilapan Altay Bayindir.
Dua pemain baharu United, Bryan Mbeumo dan Matheus Cunha, memberikan harapan dengan aksi bertenaga pada penampilan kompetitif pertama mereka, namun tuan rumah gagal mencari gol penyamaan.

Benjamin Sesko pula membuat penampilan sulungnya bersama United pada separuh masa kedua.
United cuba bangkit dengan beberapa percubaan termasuk rembatan deras Patrick Dorgu pada minit ke-30 yang sekadar singgah di tiang gol manakala percubaan Matheus Cunha tiga minit kemudian diselamatkan penjaga gol Arsenal, David Raya.
Mereka juga terus buntu untuk mencari gol penyamaan pada babak kedua dengan percubaan menarik Bryan Mbeumo pada minit ke-73 juga diselamatkan Raya.
Kali terakhir Red Devils menewaskan Arsenal dalam saingan utama itu adalah ketika menang 3-1 pada 2022 dan selepas itu mereka hanya seri sekali dan tewas lima kali termasuk malam ini.
Keputusan itu turut menyaksikan United gagal mengulangi sejarah musim 1989-90 yang mana mereka menewaskan The Gunners 4-1 ketika itu dan ia menjadi satu-satunya pertemuan di hari pembukaan liga antara kedua-dua pasukan di Old Trafford.
Skuad kendalian Ruben Amorim yang mengalami detik paling buruk musim lalu apabila menamatkan saingan liga di tangga ke-15 liga bermula dengan persembahan meyakinkan pada awal permainan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
