‘Wanita Cina’: Kalah Putar Belit, Adun Pas Akhirnya Mohon Maaf

Seorang pengguna media sosial menggesa polis menyiasat Adun Manjoi Mohd Hafez Sabri dan jelas pada tangkap layar berkenaan menunjukkan tiada pindaan dibuat selepas lebih empat jam disiarkan sebelum lima kali hantaran dipinda dan dipadam sepenuhnya.
IPOH, 1 Sep – Setelah teruk dikecam bertalu-talu, akhirnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi daripada Pas, Mohd Hafez Sabri memohon maaf atas kekhilafan merujuk seorang ‘wanita kaum Cina’ dalam insiden serangan terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Bagaimanapun, katanya, hantaran di Facebook miliknya berkenaan isu itu yang ditularkan pihak-pihak tidak bertanggungjwab kononnya telah dimanipulasi.
Jelasnya, pada waktu kejadian tersebut, beliau telah mendapat makluman awal ia dilakukan oleh seorang ‘perempuan kaum Cina’.

“Sebagai rakyat yang sayangkan Tuanku Sultan Negerinya perasaan bimbang dan takut akan keselamatan Tuanku Sultan hadir dalam perasaan saya, jadi ketika itu saya telah membuat posting secepat mungkin kerana ia melibatkan satu “breach of security” kawalan keselamatan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Bagaimanapun semakan mendapati, bukan sekali atau dua kali Adun Pas itu meminda hantarannya setelah ‘menyedari’ maklumat yang diterimanya tidak tepat, tetapi pindaan dibuat selama lima kali sebelum akhirnya dipadam terus, seolah-olah tidak mampu lagi menerima kecaman ekoran maklumat salah yang diterimanya sendiri.
Lebih mengelirukan ialah, tangkap layar yang diperolehi menunjukkan kandungan hantaran tersebut kekal kira-kira empat jam sebelum dipinda lima kali dan terus dipadam tanpa penjelasan atau permohonan maaf segera sehinggalah polis melancarkan siasatan bermula malam tadi.
Terdahulu, polis memulakan siasatan terpeinci bagi menyangkal berita tidak benar di media sosial berhubung bangsa wanita yang ditahan ketika menaiki pentas utama menempatkan Sultan Perak.

Susulan penularan berita tidak benar itu, polis melancarkan siasatan bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
“Polis Kontinjen Perak terkesan dengan penularan berita palsu berhubung bangsa wanita terbabit di platform media sosial berkenaan.
“Pihak polis menyangkal berita tersebut sebaliknya tangkapan dibuat ke atas wanita tempatan berusia 41 tahun dan ujian saringan air kencing didapati negatif.
“Jika disabitkan penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya,” menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk M Kumar dalam satu kenyataan pada Isnin.
Selain Mohd Hafez, beberapa pengguna media sosial yang lain turut membuat dakwaan yang sama namun tidak dapat dipastikan sama ada hantaran berkenaan sudah dipadam atau sebaliknya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
