Fitnah: Pemuda Amanah Perak Desak Tindakan Undang-Undang Terhadap ADUN Pas Manjoi

Wakil Pemuda Amanah Perak, Ahmad Shafiq (tengah) selesai membuat laporan terhadap Adun Manjoi daripada Pas, Mohd Hafez Sabri di IPD Ipoh pada 1 September 2025.

IPOH, 1 Sep – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mahu polis menjalankan siasatan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri yang didakwa memuat naik kenyataan palsu berhubung insiden seorang wanita cuba mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Ahad.

Naib Ketua Pemuda Amanah negeri, Ahmad Shafiq Ahmad Ariffin berkata, kenyataan yang menyentuh bangsa wanita tersebut dilihat berunsurkan hasutan yang boleh mengundang kebencian antara kaum.

Menurut beliau, perbuatan itu boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Hantaran palsu di media sosial seorang pemimpin pembangkang yang dipercayai sedang dalam siasatan pihak polis kerana kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam pada 31 Ogos 2025.

 

“Walaupun kenyataan tersebut telah dipadam, ia bagaimanapun telah tular sehingga mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat.

“Saya memohon pihak polis untuk menyiasat kenyataan Hafez yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat serta mengambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Isnin.

Ketua Pemuda Amanah Tambun itu berkata tindakan boleh diambil mengikut Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau mana-mana peruntukan undang-undang berkenaan bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

Tambahnya, laporan itu dibuat bagi menjaga keharmonian masyarakat serta memelihara keselamatan dan kestabilan negara daripada unsur yang boleh menggugat perpaduan kaum.

Seorang pengguna media sosial menggesa polis menyiasat Adun Manjoi Mohd Hafez Sabri dan jelas pada tangkap layar berkenaan menunjukkan tiada pindaan dibuat selepas lebih empat jam disiarkan sebelum lima kali hantaran dipinda dan dipadam sepenuhnya.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita ditahan selepas bertindak naik ke pentas utama mendekati Sultan Nazrin ketika Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri 2025 di sini pagi Ahad.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.20 pagi ketika baginda berdiri memberi tabik hormat sewaktu lagu kebesaran negeri Perak sedang dimainkan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *