Merdeka 68: Polis Tahan Wanita Ceroboh Pentas Utama Hari Kebangsaan Di Ipoh

Seorang wanita dilihat meluru ke arah Sultan Perak semasa nyanyian lagu negeri Perak berkumandang ketika Sambutan Hari Kebangsaan 2025 berlangsung di Ipoh pada 31 Ogos 2025.
IPOH, 31 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan 2025 peringkat Negeri Perak, di sini pagi tadi sedikit tercemar apabila polis menahan seorang wanita tempatan yang menceroboh pentas utama menempatkan pembesar negeri itu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, dalam satu kenyataan berkata, suspek berusia 41 tahun itu dilihat memasuki pentas melalui bahagian tepi kira-kira jam 8.20 pagi sebelum cuba mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Ketika kejadian, lagu kebesaran negeri Perak sedang berkumandang.

Wanita itu berjaya ditahan anggota keselamatan sebelum sempat menimbulkan insiden serius.
Hasil semakan awal mendapati suspek mempunyai rekod lampau kes dadah serta rekod rawatan psikiatri dan kini berada di bawah pengawasan pakar.
Beliau menambah, ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif.
Kes disiasat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.
Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya menghormati majlis rasmi kenegaraan dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta keselamatan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
