Umat Islam Diseru Selamatkan Masjid Ar-Ridzuan Alor Pongsu

semua masjid dan surau mengadakan kutipan Tabung Khas 'Selamatkan Masjid Jamek Ar-Ridzuan Alor Pongsu' pada 9 dan 16 Mei ini. Foto Wan Mohd Hasbullah
BAGAN SERAI, 7 Mei – Sebanyak RM1.8 juta diperlukan bagi menyelamatkan tanah wakaf Masjid Jamek Al-Ridzuan, Alor Pongsu di sini.
Pengerusi Masjid, Yusuf Majid, berkata, pihaknya memohon bantuan umat Islam khususnya di negeri ini untuk bersama-sama menyelamatkan sebahagian tanah masjid berkenaan yang kini dimiliki oleh individu bukan Islam.
Menurutnya, kemelut berpunca apabila tanah berkeluasan 0.61 hektar itu dijual oleh waris pewakaf tanpa pengetahuan pihak masjid.
“Lot tanah berkenaan menempatkan struktur penting masjid termasuk dewan muslimah, tandas wanita serta lebih 30 pusara.

“Pihak masjid hanya menyedari perubahan hak milik tanah itu sekitar tahun 2015 ketika proses pengukuran semula kawasan tanah perkuburan bagi membina pagar di kawasan itu.
“Pengurusan masjid terkejut apabila mendapati tanah itu berpindah milik kepada individu bukan Islam dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Tanah itu kemudian turut dijual pula kepada individu bukan Islam yang kini menetap di Kuala Lumpur.
“Pemilik baru langsung tidak dimaklumkan tanah dibeli mempunyai struktur berkaitan rumah ibadat dan tanah perkuburan islam,” katanya malam tadi.
Menurutnya, pemilik tanah itu bagaimanapun menawarkan dua pilihan kepada pengurusan masjid sama ada membeli semula tanah itu atau merobohkan semua struktur dibina di dalam tanah miliknya itu.
“Selepas beberapa kali rundingan dilakukan, pemilik tanah itu bersetuju menurunkan harga kepada RM1.8 juta.
“Justeru kami memohon sedikit masa untuk mengumpul dana diperlukan,” katanya.
Sementara itu media melaporkan Menteri Besar Perak Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) turut mengeluarkan pekeliling supaya semua masjid dan surau mengadakan kutipan Tabung Khas ‘Selamatkan Masjid Jamek Ar-Ridzuan Alor Pongsu’ pada 9 dan 16 Mei ini.
Bagaimanapun pengurusan masjid di sini mengambil inisiatif tersendiri termasuk membuat hebahan kepada ahli kariah dan masyarakat sekitar supaya dapat bersama-sama menghulurkan bantuan bagi menyelamatkan masjid berkenaan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui Akaun Bank Islam Masjid Jamek Ar-Ridzuan Alor Pongsu: 08077010014368.
Jumlah sumbangan yang dikutip akan diumumkan secara terbuka dari masa ke semasa sebagai langkah ketelusan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
