UCL: ‘Saya Tak Kenal Pasukan Saya Sendiri’

Pengurus Inter Milan, Simone Inzaghi dan pemainnya kelihatan sugul selepas kalah besar 0-5 kepada PSG dalam perlawanan di Allianz Arena, Munich pada 31 Mei 2025. Foto Reuters

MUNICH, 1 Jun – Pengurus Inter Milan, Simone Inzaghi berkata beliau hampir tidak mengenali pasukannya sendiri selepas mereka tewas teruk 5-0 kepada Paris Saint-Germain (PSG) pada final Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

PSG merangkul gelaran Liga Juara-Juara pertama mereka dengan penuh bergaya, mencatat jurang gol kemenangan terbesar dalam sejarah final pertandingan itu.

Kekalahan itu menjadi penutup yang pahit bagi musim yang mengecewakan buat Inter, juara Eropah tiga kali, yang gagal dalam tiga pertandingan utama dan menamatkan musim tanpa sebarang trofi.

“Ia langsung tidak terasa seperti pasukan Inter saya di tengah padang – dan pemain adalah yang pertama mengetahuinya,” kata Inzaghi, yang mengemudi pasukannya ke final selepas menewaskan Barcelona secara agregat 7-6 pada separuh akhir yang mendebarkan.

Bagi Inzaghi, kekalahan itu lebih menyakitkan kerana ia berlaku dua tahun selepas mereka tewas tipis kepada Manchester City pada final 2023 di Istanbul.

Jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi kelihatan sugul ketika beliau berjalan melepasi trofi Liga Juara-Juara selepas pasukannya kalah di tangan PSG pada final di Allianz Arena, Munich pada 31 Mei 2025. Foto Reuters

“Saya rasa PSG memang berhak menang,” kata Inzaghi, pasukannya kali terakhir bergelar juara Eropah di bawah kendalian Jose Mourinho pada tahun 2010, kepada wartawan dalam sidang akhbar ringkas.

“Ada kekecewaan dan keperitan besar kerana pemain mengharungi perjalanan yang hebat musim ini dan ia sukar apabila berakhir tanpa trofi. Sebagai jurulatih, saya tetap berbangga. Kami tidak puas hati dengan persembahan malam ini. Kami mulakan dengan buruk… Kami tidak bermain final dengan cara terbaik, tetapi saya tetap ucap terima kasih kepada pemain.”

PSG menguasai perlawanan dengan bintang remaja Desire Doue mempamerkan aksi menakjubkan apabila menjaringkan dua gol dan membantu jaringan pembukaan Achraf Hakimi, sementara Khvicha Kvaratskhelia dan pemain gantian Senny Mayulu turut mencatat nama sebagai penjaring.

Inzaghi mengakui kelemahan pasukannya, menyatakan Inter gagal menyaingi asakan hebat PSG.

“Kami lebih letih berbanding PSG, yang menjuarai liga Perancis beberapa minggu lebih awal, manakala kami masih berjuang untuk kejuaraan Serie A hingga ke minggu terakhir,” kata Inzaghi.

“Kami tidak bermain dengan baik dari segi teknikal, mereka lebih pantas… Kami tahu mereka lebih kuat daripada kami, kami tahu kami perlu bermain lebih baik, tetapi kami memang layak kalah.”

Inter kini perlu bersiap bagi Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat bulan ini, tetapi Inzaghi mengakui luka kekalahan dalam final Liga Juara-Juara itu sukar dilupakan dan enggan mengulas sama ada beliau masih akan bersama kelab itu pada kejohanan itu nanti. – REUTERS


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *