Kesihatan Bertambah Baik, Sultan Brunei Dibenar Keluar Dari IJN

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah beransur pulih dan telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada 31 Mei 2025. Foto Jabatan Penerangan Brunei Darussalam
KUALA LUMPUR, 31 Mei – Berkat solat hajat dan doa rakyat jelata, keadaan kesihatan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah beransur pulih dan telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) di sini selepas menerima rawatan selama lima hari, akibat keletihan.
Perkara itu dimaklumkan Jabatan Penerangan Brunei Darussalam menerusi hantaran di Facebook.
Bagaimanapun pakar perubatan menasihatkan Baginda untuk terus berehat selama beberapa hari lagi di Malaysia sebelum berangkat pulang ke Brunei.

Baginda ditemani Permaisuri Raja Pangeran Anak Saleha dan kaum kerabat diraja Brunei sepanjang menjalani rawatan di institut itu.
Susulan itu, Baginda kembali ke hotel penginapan di ibu negara bagi meneruskan proses pemulihan dan mendapat rehat secukupnya.

Sultan Hassanal, 78 tahun, berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bersama pemimpin-pemimpin ASEAN lain bermula 26 Mei lalu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
